Monday, April 16, 2012

Awang Pusung... pulanglah

Nama ibu tua itu Sahara Kamlum. Usianya sudah lebih 60 tahun dan tinggal di Kampung Nelayan Tengah, Sandakan. Dia memelihara dua orang cucunya bernama Saidatul Nor Umairah dan Mohd Sharizan yang masing-masing sudah berada di tahun enam Sk. Sibugal Besar. Selain itu terdapat tiga lagi cucunya yang sudah tidak bersekolah tinggal bersamanya. Pn. Sahara Kamlum menyara hidup keluarganya dengan kerja-kerja kampung yang tidak menentu. Katanya, dia mengambil upah mengupas kelapa dan jika ada jemputan, dia juga membidankan ibu yang melahirkan anak.

Pn Sahara  Kamlum.
Anak lelakinya bernama Awang Pusung sudah menghilang lebih  sepuluh tahun yang lalu. Menurut cerita Pn Sahara Kamlum, anak lelakinya itu yang kini berumur sekitar 40-an adalah seorang lelaki yang banyak berkahwin. Dia menghitung dalam pengetahuannya, Awang Pusung telah berkahwin dengan 7 orang perempuan dan meninggalkan anak dengan bekas-bekas isterinya. Lebih malang, ada kalangan isterinya yang ditinggalkan gantung tidak bertali. Dua cucu yang dipeliharanya sekarang ada dari ibu yang berbeza.

Kasihan kepada isteri-isteri Awang Pusung yang ditinggalkan tanpa nafkah dan digantung tidak bertali, Pn. Sahara Kamlum menawarkan jaminan untuk menyokong mana-mana isterinya yang berhajat untuk membuat tuntutan cerai di mahkamah. Dengan sokongannya, seorang isteri Awang Pusung yang disebutnya sebagai ibu Si Mila, telah berjaya mendapat penceraian di mahkamah dan kini telah berkahwin lain.

Saidatul Nor Umairah

Mohd Sharizan
Menurut Pn Sahara Kamlum selama lebih sepuluh tahun Awang Pusung menghilang, tiada sebarang khabar berita sampai kepadanya. Sejak cucunya baru lahir, Awang Pusung telah meninggalkannya. Pada mulanya Awang Pusung memberitahu tekadnya pergi merantau adalah untuk membantunya membina rumah baru. Dia pergi bekerja di Singapura dan kemudian daripada itu hilang khabar berita hinggalah hari ini.

"Saya sabar sahaja menghadapi kesusahan ini...", keluh Pn. Sahara Kamlum.

Awang Pusung,  kembalilah kepada ibumu serta anak-anakmu!


No comments: