Saturday, September 11, 2010

KEMBARA MENCARI MUSTAHAQQIN

Kembara Mencari Mustahaqqin Zakat Fitrah pada tahun ini membawaku bersama ust. Sukri Mat ke kampung Sibugal Besar.Kampung Sibugal Besar terletak di Jalan Sungai Batang batu 10, Sandakan. Keluarga seorang murid Sk. Sibugal Besar, bernama Atikah Rosli menjadi sasaran kami dalam kembara singkat kali ini. 

Atikah Rosli merupakan murid cemerlang di sekolah, namun dia datang dari keluarga yang boleh dikatakan miskin. Kemiskinannya terpamer melalui rumah tempat tinggal mereka sekeluarga yang kecil dan daif. Dengan jumlah ahli keluarga yang agak besar, sementara ayahnya pula hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan, ditambah pula ibunya baru melahirkan anak kecil, kehidupan mereka terbukti berada pada tahap yang lebih daripada layak menerima bantuan zakat.



Tiga tahun terakhir ini, aku mengambil kesimpulan bahawa zakat fitrahku akan aku sampaikan sendiri kepada sasaran. Sikap ini aku kongsi bersama ust. Sukri.  Selain boleh menyampaikan secara langsung zakat kami, ia juga memberi ruang untuk kami lebih mengenal kehidupan masyarakat. Justeru, itulah matlamat zakat. Ia bukan sekadar membantu, tetapi merapatkan jurang, mendidik hati budi  dan membuang perasaan tidak baik dalam hati pemberi zakat maupun penerima zakat.

Semoga Allah menerima ibadah zakat kami...

Semoga ada pihak-pihak yang sudi meluaskan lagi bantuan buat keluarga miskin seperti keluarga Atikah.

No comments: